Menangislah kerana anda pernah melakukan suatu kesilapan dalam hidup.
Menangislah bahawa anda sudah menghabiskan usia muda dengan melupakan perintah-perintah Allah SWT.
Menangislah bahawa sampai usia setua ini, anda masih belum merasakan nikmatnya solat, membaca al-Quran dan berdoa.
Menangislah bahawa selama ini anda telah salah mendidik anak dan isteri.
Menangislah bahawa selama ini anda menyara keluarga dengan cara-cara yang jauh dari tuntutan agama.
Menangislah bahawa selama ini anda tidak bangga menjadi seorang Muslim.
Menangislah kerana selama ini anda tidak takut dengan balasan Allah terhadap perbuatan-perbuatan buruk yang anda lakukan secara sembunyi, lebih-lebih lg yang secara terang-terangan.
Merintihlah di hadapan Allah kerana anda sering melanggar larangan-Nya
Namun, jangan pernah berputus asa jika anda berbuat dosa. Contohilah Adam Alayhissalam, makhluk yang Allah SWT ciptakan dengan dua tangan-Nya sendiri, yang Allah tiupkan roh-Nya ke dalam dirinya, yang malaikat bersujud kepadanya, yang Allah SWT berikan kenikmatan syurga dan isteri yang cantik. Ia melakukan kesalahan, kemudian bertaubat. Allah pun menerima taubatnya, bahkan Allah akan mengembalikannya ke syurga.
Ketika anda melakukan dosa kerana kekhilafan, maka sembunyikanlah aib itu dan jangan ceritakan kepada orang lain. Rasulullah SAW berpesan kepada kita untuk tidak menceritakan aib kita sendiri kepada orang lain, dengan sabdanya,
'Seluruh umatku pasti di maafkan kesalahanya, kecuali orang yang menceritakan (kesalahannya kepada umum). Mereka adalah orang yang melakukan suatu perbuatan (dosa) di malam hari, kemudian memasuki pagi hari dan Allah telah menutupi kesalahannya itu, namun dia bercerita kepada orang lain, 'Wahai Fulan, semalam saya sudah melakukan ini itu'. Padahal, Allah sudah menutupi aibnya itu, tapi ia malah membuka tutupan itu pagi harinya'. (Hadits, riwayat Bukhari dan Muslim).
Menceritakan maksiat yang anda lakukan kepada orang lain termasuk perbuatan dosa, apa lagi jika dengan cerita itu masyarakat tahu bahawa anda adalah kotor. Selain itu, menceritakan maksiat yang pernah anda lakukan juga akan mendorong orang lain mengikut jejak anda. Dengan begitu, dosa yang anda pikul menjadi berlipat ganda.
Maka, sekarang menangislah. Cucurkan airmata penyesalan. Tangisan anda yang disertai dengan penyesalan, kini punya nilai berharga di mata Allah. Betapa ramai hamba Allah yang menjadi wali-Nya lantaran banyak menangis kerana takut kepada Allah. Betapa ramai hamba Allah yang diselamatkan dari jilatan api neraka lantaran setitis air mata penyesalan itu.
Dengarlah, bisikan Rasulullah SAW di telinga kita,
'Api neraka tidak mungkin menjilat seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah, seperti tidak mungkinnya air susu yang sudah keluar kembali lagi ke puting payudara'. (Hadits, riwayat at-Tirmidzi)
Engkau benar duhai Rasulullah dan betapa sejuknya bisikanmu itu...
Kata Hatiku : Subhanallah, Allah itu Maha Penyayang sifatnya...